Translate

Saturday, November 4, 2017

ZON PERDAGANGAN BEBAS DIGITAL (DFTZ): SATU LAGI MERCU KEJAYAAN MALAYSIA


Salleh Said Keruak

1. Dalam Bajet 2017 setahun yang lalu, ramai belum faham apabila PM menyebutkan tentang DFTZ. Namun, apabila PM melancarkan DFTZ ini kelmarin yang turut dihadiri oleh Jack Ma, pengasas Alibaba, ramai yang mula nampak arah tuju ekonomi Internet yang PM maksudkan.

2. DFTZ adalah suatu usaha kerajaan untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Internet dengan menjadikan e-dagang sebagai keutamaan.  Yang mendapat manafaat besar ialah PKS dan pengeluar Malaysia yang ingin mengeksport, pemilik jenama global yang ingin menubuhkan hab serantau, dan pembekal perkhidmatan tempatan dan global. Bagi pengguna ini akan meningkatkan pilihan belian dan penghantaran barangan yang lebih cepat.

3. DFTZ ini memberikan banyak kebaikan.  Antaranya ialah menjadikan KLIA pusat kargo udara dan logistik membabitkan syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan seperti Alibaba Group, Lazada dan POS Malaysia; meningkatkan perkhidmatan digital dan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan inovasi berasaskan Internet dan e-dagang antarabangsa; membantu pengusaha kecil mengembangkan pasaran produk mereka ke luar negara; dan mengurangkan sekatan dagangan bagi memudahkan penglibatan PKS dalam dagangan global.

4. Dari segi ekonomi, DFTZ dapat meningkatkan sumbangan ekonomi internet kepada KDNK Malaysia, membantu syarikat kecil dan sederhana tempatan untuk memasarkan produk mereka ke peringkat global dengan mudah, meningkatkan eksport PKS kepada AS$38 bilion dan menjana sebanyak 60,000 pekerjaan baru menjelang 2025, dan menggandakan pertumbuhan jumlah kargo udara Malaysia daripada 700,000 tan setahun sekarang kepada 1.3 juta tan setahun dalam tempoh 10 tahun.

5. Kelmarin, saya dapat merasakan DFTZ adalah mercu tanda baharu kejayaan Malaysia.  Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Badlisham Ghazali menyatakan apabila beroperasi sepenuhnya, Zon ini dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak RM700 juta. Tidak hanya itu, pergerakan barangan juga akan berlaku dengan banyak dari 150,000 tan sekarang kepada lebih 3.5 juta tan barangan menjelang 2020.  Selain itu, Zon ini juga dijangka menarik pelaburan asing serta domestik sebanyak  RM7 bilion.

6. Mengulas pelancaran DFTZ ini, Jack Ma juga menyifatkan DFTZ ini sebagai bukti kerajaan Malaysia adalah sebagai kerajaan yang amat cekap.  Sesungguhnya, menjelang 2020, Malaysia telah mengorak langkah menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya.

No comments: