Translate

Tuesday, December 19, 2017

TVET MEMPERKASAKAN RAKYAT, MEMAJUKAN NEGARA


Salleh Said Keruak

1. Semasa membentangkan Bajet 2018, PM mengumumkan peruntukan RM4.9 bilion untuk melaksanakan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).  Kata PM, peruntukan ini adalah untuk memperkasakan TVET, menyediakan modal insan yang berkemahiran tinggi, dan menyiapkan belia bagi pasaran buruh sesuai dengan Revolusi Industri 4.0 .

2. Pandangan PM ini betul dan tepat.  Di negara maju, mereka mempunyai bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal yang tinggi.  Jerman misalnya, mempunyai 81% tenaga kerja mahir dan daripada jumlah itu, 63% adalah lulusan daripada sistem kolej vokasional, dan hanya 18 peratus lulusan universiti.  Akibatnya, Jerman muncul sebagai negara kaya dan maju kerana sistem TVET ini menjadikan pekerjanya berkemahiran tinggi.

3. Di negara kita sendiri, bagi menjayakan projek-projek berimpak tinggi seperti MRT, ECRL dan High Speed Rail, kita amat memerlukan pekerja mahir tempatan.  PM sendiri menyatakan transformasi ini penting untuk menyediakan kira-kira 1.5 juta peluang pekerjaan yang memerlukan kelayakan TVET bagi memenuhi keperluan industri negara.

4. Bagi memperkasakan rakyat supaya mempunyai pendapatan tinggi, kerajaan telah menggariskan lima lonjakan transformasi TVET. Pertama, melatih dan meningkatkan tenaga mahir tempatan supaya berdaya saing hingga ke peringkat global. Kedua, memperkukuhkan lagi kerjasama strategik antara TVET awam serta pihak industri.  Ketiga, melahirkan ramai lulusan dalam bidang TVET.  Keempat, melaksanakan geran padanan di mana kerajaan telah memperuntukkan RM4.9 bilion dalam Bajet 2018 bagi tujuan ini.  Kelima, menjenamakan semula institusi TVET menjadi ‘TVET Malaysia’ untuk menarik rakyat menerima TVET sebagai pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan.

5. Inisiatif yang dibawa oleh kerajaan BN di bawah pimpinan DS Najib dalam bidang TVET ini jelas mampu memperkasakan rakyat dan membawa Malaysia maju ke hadapan.  Jadi, marilah kita semua bersatu hati menjulang TVET Malaysia sehingga ke puncak kejayaan bagi merealisasikan aspirasi TN50 yang ingin melihat Malaysia terus maju dan makmur.

No comments: