Translate

Tuesday, January 23, 2018

MENILAI DEMOKRASI MALAYSIA


Salleh Said Keruak

1. Ada pihak sering mendakwa demokrasi Malaysia mati. Alasannya kerajaan bersikap pilih kasih, mengamalkan diskriminasi kaum, mencabul hak sivil dan politik rakyat, dan lainnya.

2. Dakwaan tersebut ternyata songsang kerana realitinya kerajaan melayan semua rakyatnya dengan adil. Misalnya, kerajaan membantu rakyat miskin dengan pelbagai program, menyediakan peruntukan yang banyak untuk membantu peniaga kecil, memberi BRIM, menyediakan peluang ekonomi serta pekerjaan dan lain sebagainya.  Pendek kata, kerajaan berbuat apa sahaja bagi menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

3. Oleh sebab itulah, jika adapun pihak yang cuba memberikan imej negatif kepada kerajaan, realitinya data menunjukkan sebaliknya. Misalnya, Indeks Demokrasi 2016 menunjukkan dari 167 buah negara, kita berada di tangga 65 (skor 6.54), berbanding dengan Thailand (4.92), Kemboja (4.27), Myanmar (4.20), Vietnam (3.38) dan Laos (2.37) yang diletakkan dalam kategori tidak bebas.

4. Bukan hanya itu. Negara-negara Amerika Tengah yang dekat dengan Amerika juga gagal demokrasinya.  Skor Honduras dan Guatemala adalah masing-masingnya 5.92. Negara Bhutan (skor 4.93) yang mempunyai kadar kegembiraan penduduk yang tinggi  juga gagal demokrasinya. Qatar (skor 3.18) yang mempunyai per kapita penduduk paling tinggi di dunia juga gagal.

5. Ini menunjukkan tahap demokrasi Malaysia tidaklah teruk seperti mana yang dituduh oleh sesetengah pihak sebagai demokrasi yang mati.  Kita tetap negara demokrasi.

6. Freedom of the World 2018 yang baharu diterbitkan juga tidak mengkategorikan demokrasi Malaysia mati, tetapi bersama dengan Singapura sebagai “partly free” dengan  skor 4, berbanding dengan Brunei, Thailand, Vietnam, Laos, Kampuchea dan Myanmar yang tidak bebas (skor 6).

7. “Partly free” ini bukanlah menunjukkan demokrasi kita mati atau kerajaan menafikan hak rakyatnya, tetapi kerana beberapa akta pencegahan yang terpaksa kita kekalkan untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara.  Amankah Malaysia?  Tentu sekali. Global Peace Index 2017 meletakkan indeks keamanan kita adalah di tempat ke-29 daripada 163 negara, dan kelima paling aman di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun, Australia, dan Singapura.  Sebagai rakyat, kita sepatutnya berbahagia dengan nikmat keamanan ini.

8. Akhirnya, tahun ini kita akan mengadakan pilihan raya umum. Tentunya semua parti telah bersedia untuk menghadapi PRU ini.  Harapnya PRU 2018 adalah yang paling aman dan stabil, semoga dengannya negara kita akan terus maju.

No comments: