Translate

Sunday, January 21, 2018

*SALLEH HARGAI USAHA UMS BINA RUMAH KOMUNITI MENERUSI CSR*


KOTA BELUD, 21 Jan (Bernama) -- 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menghargai usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) membina Rumah Komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki rumah.

Salleh berkata inisiatif UMS itu juga patut dipuji kerana ia merupakan kerjasama diberikan institusi pendidikan tinggi dengan menggunakan kepakaran dan tenaga sukarelawan universiti berkenaan dalam membantu kerajaan merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat.

“Projek Rumah Komuniti ini adalah satu usaha kemasyarakatan oleh UMS yang mengutamakan mereka yang tergolong dalam golongan miskin, tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak mempunyai rumah sendiri, dan ia merupakan projek rumah percuma diagihkan kepada golongan sasar yang layak.

“Pelajar UMS telah menyumbangkan tenaga sukarelawan mereka untuk membina rumah-rumah tersebut. Rasa tanggungjawab dan nikmat perlu dikongsi bersama terutama kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan majlis penyerahan sebuah Rumah Komuniti di Kampung Pantai Emas, di sini hari ini.

Rumah Komuniti berkeluasan 55.74183 meter persegi dengan tiga bilik, satu bilik air, dapur dan ruang tamu itu diserahkan kepada seorang penduduk Kota Belud Rodzlee Adkil yang merupakan seorang nelayan dan penjaja kecil-kecilan dengan anggaran pendapatan bulanan RM400 sebulan.

Rumah Komuniti dengan kos kira-kira RM20,000 itu dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) itu disiapkan dalam tempoh kurang daripada satu bulan.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamaruddin D Mudin berkata selain di Kota Belud, tiga lagi projek Rumah Komuniti CSR UMS telah dibina di Sipitang, Tawau dan Sandakan dan akan dirasmikan pada Februari ini.

Dalam pada itu, Rodzlee, 36, ketika ditemui pemberita melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UMS atas keprihatinan mereka memberikan rumah yang disifatkannya begitu selesa bagi beliau dan isteri serta enam anak  mereka.

“Saya sangat gembira atas pemberian ini. Saya sememangnya mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri dan hari ini impian saya tercapai atas keprihatinan dan bantuan daripada pihak UMS. Ini juga adalah rezeki untuk anak-anak saya,” katanya.

Isteri Rodzlee, Masrah Osman turut menzahirkan kegembiraan kerana mereka sekeluarga diberikan rumah yang selesa dan selamat berbanding sebelum ini hanya rumah kayu dan tidak mempunyai bilik.

“Kami juga diberikan kelengkapan rumah seperti sofa, meja makan, tangki air dan turut dilengkapi lampu serta kipas,” katanya.

Pemilihan Rodzlee sebagai penerima Rumah Komuniti itu dibuat secara bersama dengan Pejabat Daerah Kota Belud menerusi rekod e-Kasih.
-- BERNAMA

No comments: